GUA MUSANG: Seorang warga emas yang juga merupakan seorang peneroka di Felda Chiku 1 ditemui meninggal dunia dalam keadaan seolah-olah sedang bersujud selepas terbabit dalam satu kemalangan dipercayai kejadian langgar lari di Kilometer 30 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, petang semalam.
Sebelum kejadian sekitar jam 12.30 petang, mangsa, Arifin Che Long, 74, dalam perjalanan pulang kerumah daripada kebunnya berseorang menunggang motosikal.
Mangsa dipercayai dirempuh oleh sebuah kereta daripada arah belakang menyebabkan beliau tercampak ke dalam semak di tepi jalan bersama motosikalnya.
Selepas kemalangan mangsa dipercayai bangun merangkak ke bahu jalan sambil menahan sakit kerana kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia dan ditemui orang ramai.
Anak mangsa, Farizi, 42, memberitahu, bapanya keluar rumah sejak jam 10 pagi dengan menunggang motosikal untuk ke kebun sawitnya di Jalan Felda Perasu.
"Sudah jadi kebiasaan ayah pergi ke kebun untuk melihat pokok sawit yang diusahakannya kerana bimbang ia dimusnahkan babi hutan. Arwah dipercayai dirempuh kenderaan dalam perjalanan pulang dan kepalanya cedera parah.
"Memang kebiasaan arwah pulang ke rumah sebelum jam 1 petang setiap hari walau ke mana pun dia pergi, kerana dia mahu ke surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat Zohor berjemaah," katanya dipetik Sinar Harian.
Beliau kemudiannya terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima berita tentang bapanya itu dan melihat sendiri mayat ayahnya itu dalam keadaan sujud kerana mungkin bapanya teringat untuk menunaikan solat Zohor sambil menahan kesakitan.
Isteri mangsa, Che Zaharah Awang Kecil, 65, berkata, kebiasaannya mangsa akan membawanya atau anak-anak sebagai peneman jika ke kebun sawit, namun pada hari kejadian dia pergi berseorangan.
"Dia (mangsa) tidak pernah gagal solat berjemaah di surau pada setiap waktu dan mungkin keadaannya semasa meninggal merupakan petunjuk dari ALLAH SWT. Jika benar ia petunjuk dari-Nya, makcik rasa lega kerana arwah mendapat keberkatan Ilahi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah memaklumkan, kejadian yang meragut nyawa mangsa dipercayai langgar lari berdasarkan nombor pendaftaran dan lampu belakang motosikal mangsa pecah.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 1. petang kelmarin.
Sumber : Siakapkeli.my